Monday, 25 May 2026

Kek Lapis C.O.B Cheese


     Assalamualaikum & selamat petang semua. Hari ni aku nak share resepi last untuk kek lapis tahun ni. Lepas ni jumpa pulak tahun depan masa raya pusa pulak. Resepi ni nak macam Kek Lapis Ulang Kayangan. Bezanya yang ni dia letak biscoff dalam setiap adunan pastu selang seli tabur oreo & coklat cadbury. Kalau Kek Lapis Ulang Kayangan dia tabur tiga² bahan setiap lapisan. Rasa memang macam nak sama la. Cuma beza cara nak melapis tu. Aku buat guna loyang 6×6×4, kek jadi tinggi & ada lebihan kek sebab dah tak muat. Kalau guna loyang 7×7×4 mesti OK. Sapa nak cuba boleh tengok resepi kat bawah tu. Byee...



Kek Lapis C.O.B Cheese
C&P : FB Ieka Schafieqa
Loyang 7x7x4 ( aku buat 6×6×4 )
 
250g butter
1/2sb ovallate
175g susupekat
50g gula halus
250g creamcheese
1/2sk esen vanilla
5 biji telur A
100g serbuk aiskrim vanilla
50g coffemate
50g susu tepung
175g tepung pau
100ml susu fullcream / susu cair / whipping cream ( aku guna whipping cream )
125g biskut lotus biscoff (d hancurkan)
70pcs cadbury atau lebih (potong kecik) - ( aku guna cadbury bar & potong kecik² )
Oreo crush
 Pewarna putih

 Cara-cara
  1. Butter, ovallate, susu, gula, cream cheese & esen vanila pukul rata gebu.
  2. Masukkan telur satu per satu. Pukul sebati.
  3. Masukkan serbuk aiskrim vanilla, coffemate, susu tepung & tepung pau. Pukul hingga sebati.
  4. Masukkan susu fullcream & pewarna putih, pukul rata.
  5. Timbang full adunan, bahagi 14 / 16. Tak sama jumlah kita dpt, kdg lebih kdg kurang.
  6. Timbang adunan kosong dlm mangkuk, letak biscoff. Tiap lapisan letak 1 1/2 sudu kecil biscoff (sudu kecik kfc). Gaul biscoff slow2 dlm mangkuk. JANGAN GAUL BISCOFF TERUS DALAM SELURUH ADUNAN. JANGAN AMBIK KERJA MUDAH. Nanti mencair.
  7.  Letak adunan biscoff - tabur oreo crush.
  8. Letak adunan biscoff - tabur cadbury
  9. Ulang sampai habis. Selang seli oreo & cadbury.
  10. Lapisan pertama guna api atas bawah. Lapisan kedua & seterusnya guna api atas sahaja. Lapisan terakhir guna api atas bawah.
  11. Suhu 150°C / 10minit atau ikut kepanasan oven masing², sebab lain oven lain suhu kepanasa.




Sunday, 24 May 2026

kek Lapis Pelangi Senja


      Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ni aku nak share resepi kek lapis yang ke 3 pula. Ni ada tema pelangi jugak. Raya puasa hari tu pun ada tema pelangi. Tapi yang tu versi putih. Ni pelangi versi gelap yang dah senja. Untuk kek lapis ni banyak jadi bubble lah pulak. Nampak tak kemas. Bahagian ungu tu pun tak berapa nampak sangat sebab terlalu gelap ungu dia. Kalau buat warna pelangi versi pastel mesti nampak cantik. Lepas ni aku nak share resepi kek lapis yang last pulak. Ok lah.. Byeee...
 


Kek Lapis Pelangi Senja
By : Aida Royani
C&P : Kakngah ( FB Resepi Mama Kent )
 
Bahan A
225gm butter
5 biji telur gred A
100gm tepung pau ( aku guna tepung hong kong )
100gm Ovaltine malted milk
150gm susu pekat manis
135gm seri kaya
1/2 sb ovalette
Pewarna merah, oren, kuning, hijau, biru & ungu 
 
Bahan B
38gm Hershey's chocolate flavor
5gm black cocoa powder
 
 
Cara-cara
  1. Masukkan semua bahan-bahan A dan pukul hingga kembang & sebati ( tak perlu step by step ).
  2. Bahagi adunan kepada 2 bahagian sama banyak. Satu bahagian bahagi kepada 6 bahagian dan letak warna merah, oren, kuning, hijau, biru & ungu.
  3. Bahagian satu lagi letak bahan-bahan B dan pukul hingga sebati. Letak sedikit pewarna hitam ( optional ). Untuk bahagian ni buat 6 lapisan.
  4. Lapis macam biasa. 3 lapisan hitam, diikuti ungu, biru, hijau, kuning, oren, merah dan lapisan hitam sekali lagi.
  5. Lapisan pertama guna api atas dan bawah. Lapisan seterusnya api atas. Suhu ikut oven masing-masing. Guna loyang 6×6×3.5 




Saturday, 23 May 2026

Kek Lapis Sirap Laici


      Assalamualaikum dan selamat petang semua. Petang ni aku nak share resepi kek lapis yang ke 2 untuk raya nanti. Kek ni simple ja. Bahan pun tak banyak. Untuk sirap & kordial laici tu aku letak lebih sebab tak berapa bau sangat. Bila dah tambah tu sedapnya bau masa dok bakaq tu. Selalu dok minum ayaq sirap laici, kali ni jadi kek pulak. Sapa² yang nak mencuba boleh tengok resepi kat bawah tu... Byeeee...
 


Kek Lapis Sirap Laici
C&P : FB Dapur Kitak
 
250gm marjerin ( aku guna butter )
50gm gula halus
15gm ovalet
175gm susu pekat
5 biji telur gred A
50gm creamer
175gm tepung gandum ( aku guna tepung hong kong )
50ml susu full cream ( aku guna whipping cream )
1 1/2 sb kordial laici ( tanpa gula )
1 sb sirap rose
1 sb warna putih
 
 
Cara-cara
  1. Pukul butter, gula dan ovalet sehingga kembang.
  2. Bila dah kembang, masukkan telur satu persatu. Pukul sebati.
  3. Masukkan susu pekat. Pukul sebati.
  4. Masukkan creamer. Sebatikan.
  5. Masukkan tepung gandum. Masukkan sedik demi sedikit sehingga habis. Sebatikan.
  6. Masukkan susu full cream. Sebatikan.
  7. Bahagi adunan sama banyak kepada 2 bahagian. Letak kordial laici & pewarna putih. Sebatikan. Bahagian satu lagi letak sirap rose. Sebatikan.
  8. Sediakan loyang 6×6×4 dan alas dengan baking paper. Panaskan oven selama 10 minit suhu 180°C. Lapisan pertama bakar guna api atas & bawah. Bakar selama 8 minit atau sehingga kek masak. Letak rak paling bawah sekali.
  9. Lapisan ke 2 sampai lapisan terakhir bakar guna api atas sahaja. Bakar selama 8 minit atau sehingga kek masak pada suhu 150°C. Letak loyang paling bawah.
  10. Cara melapis ikut kreativiti masing². 




Friday, 22 May 2026

Kek Lapis Chocolate Almond Sensation


     Assalamualaikum semua... Macam mana persiapan nak raya haji nanti..? Dah buat ka kek & biskut raya..? Aku dah siap dah 4 biji kek lapis. Tahun ni aku buat 4 jenis jaa... Sebab harga barang dok naik, aku kurangkan kuantiti kek lapis aku. Biskut pun aku tak tau nak buat atau tak. Kalau tak buat rasa lapaq pulak. Ingat nak gentel almond landon rasanya. Biskut lain tak tau nak buat apa. Untuk kek lapis pertama ni memang sesuai untuk peminat coklat. Rasa coklat dia memang mantap. Kek ni aku ada buat raya puasa hari tu. Tapi kejadian dia amat menyedihkan laaa... Kat tengah dia tak mau masak elok. Aku pi bakaq lagi sebab nak bagi betoi² masak. Alih² kek jadi kering. Patutnya aku kena kukus kalau nak selamat. Tapi aku tetap hidang kat tetamu jugak la tapi bila dah kek lain mula habis... 😂😂😂😂 Untuk kek ni aku tambah almond nibs kat tiap lapisan. Kalau resepi asal dia lapis kosong macam tu ja. Bila letak almond nibs ni nampak la bintik² bila kita potong tu.... Sapa² nak cuba boleh tengok resepi kat bawah tu... Byeeee...
 
 


Kek Lapis Chocolate Almond Sensation
C&P : FB Khairunnisa Mohammad ( Kek Lapis Chocolate Sensation )
 
250gm butter
70gm gula kastor
170gm tepung hong kong
190gm susu pekat manis
100gm socolics malt
100gm tepung aiskrim coklat
13gm dark cocoa powder
60gm gula hitam
5 biji telur gred A
1/2 sb ovalet
1/2 sb esen vanilla
1/2 sk serbuk nescafe espresso ( larutkan dengan 1/2 sb air panas )
1/2 sb pewarna hitam 
400gm dark chocolate ( dicairkan )
Almond nibs secukupnya 
 
Cara-cara
  1. Mix butter, gula, esen vanilla dan ovalet hingga kembang / gebu.
  2. Masukkan telur satu persatu sambil mix.
  3. Masukkan susu pekat manis. Mix sebati.
  4. Masukkan socolic malt, mix sebati.
  5. Masukkan tepung aiskrim chocolate dan dark cocoa powder. Mix sebati.
  6. Masukkan gula hitam, pewarna hitam, larutan espresso dan dark chocolate yang dicairkan. Mix sebati.
  7. Sediakan loyang 7×7×3.5 ( kalau guna loyang 6×6×4 kek akan tinggi ). Alas dengan baking paper.
  8. Panaskan oven 10 minit, suhu 170°C. Layer pertama bakar pada suhu 170°C, api atas bawah selama 15 minit atau sehingga masak. Layer seterusnya bakar pads 160°C, api atas sahaja, rak bawah sekali, 10 minit atau sehingga kek masak.
  9. Setiap lapisan ditabur dengan almond nibs.
  10. Bakar selapis-selapis sehingga habis. 
     




Wednesday, 13 May 2026

Harum Manis Mousse Cake


      Assalamualaikum semua... Lama dah aku tak buat kek krim ni. Lepas raya ritu tak buat apa-apa kek krim lagi. Kek last pun aku buat kek lapis. Alang-alang kat Perlis ni musim buah harum manis, kita buat kek tema buah harum manis la. Asalnya aku nak buat lepas raya ritu. Alih-alih buah yang aku beli tu buat makan macam tu ja... Hahahaaa... Tapi agak mahal la buah harum manis ni. Mahal tu sebab cerewet nak menjaganya. Yang kat rumah aku jadi la dalam 2 3 biji... 😅😅😅 Sebelum habis musim harum manis ni baik aku buat siap-siap. Resepi asal dia buat buah mangga biasa ja. Kalau tak ada harum manis, guna apa yang ada. OK la, byeee.. Sapa-sapa nak cuba resepi ni boleh tengok kat bawah tu...
 


Harum Manis Mousse Cake
 
Kek Span Vanila
Sumber : Buku Resepi/Chef Noraini Zakaria
C&P : RAHEL

60g gula kastor
5g ovalette
2 biji telur gred A

65g tepung kek}
1/2 sudu teh serbuk penaik}--(A) diayak

20g air
30g minyak masak/mentega cair
1/2 sudu teh esen vanila


Cara-cara
  1. Griskan 3 biji  loyang bulat berukuran 6 inci . Lapis dg kertas serap minyak. Panaskan ketuhar pada suhu 180'C.
  2. Satukan gula kastor, ovalette, telur & bahan (A) ke dalam mangkuk pengadun. Pukul dg kelajuan perlahan untuk sebatikannya. Tukar kelajuan tinggi & pukul lagi hingga kembang selama 5 minit.
  3. Perlahankan kelajuan dan tuangkan air & esen vanila. Pukul lagi dengan kelajuan tinggi selama 5 minit hingga adunan ringan dan gebu.
  4. Masukkan minyak atau mentega. Dikacau sebati.
  5. Bahagi adunan kepada 3 bahagian sama banyak dan tuang adunan ke dalam loyang. Bakar selama 15- 20 minit atau sehingga kek masak.
  6. Setelah masak,terlangkupkan agar ia tidak mendap. Selepas 5 minit,terbalikkan semula dan lorek tepinya dengan pisau dan keluarkan kek. Biarkan ia sejuk.




Harum Manis Mousse
C&P : my-mintroom
 
125g cream cheese
125g whipping cream - aku letak 200ml
50g gula kastor
1/2 cwn isi harum manis (didadu) - aku letak lebih
3/4 sb serbuk gelatin halal, dilarutkn dgn 1/8 cwn air panas.


Cara membuatnya:
  1. Potong kecil cream cheese dan biarkan lembut pada suhu bilik,baru diputar hingga betul-betul lembut.
  2. Masuk gula dan putar lagi hingga sebati.
  3. Masukkan larutan gelatin, putar lagi hingga betul-betul rata.
  4. Masuk separuh whipping cream yang telah diputar kental, dan kaup balik perlahan guna spatula. Masuk baki whip cream dan juga isi mangga yg telah dipotong dadu. Kaup balik hingga sekata.




Harum Manis Glaze
 
50gm isi harum manis
1 sk serbuk gelatin
1 1/2 sb air panas
50gm isi harum manis ( potong dadu )
 
Cara-cara
  1. Kisar isi harum manis dengan sedikit air menjadi puri.
  2. Larutkan serbuk gelatin dengan air panas.
  3. Satukan puri harum manis bersama larutan gelatin. Sebatikan.
  4. Boleh dituang atas kek & tabur potongan harum manis keliling kek. 



Cara Melapis Kek
 
200ml-250ml non dairy whipping cream ( pukul kental )
 
  1. Sediakan plastik mika dan kemaskan di atas papan kek. Masukkan sekeping kek dalam plastik mika. Tuang separuh harum manis mousse dan ratakan. Letak sekeping kek lagi. Ulang hingga habis. Simpan dalam peti sejuk sehingga kek betul-betul set.
  2. Keluarkan dan buka plastik mika. Paipkan seluruh kek dengan non dairy whipping cream.
  3. Tuang harum manis glaze. Tabur potongan buah harum manis keliling kek. Hias ikut kreativiti masing-masing.
  4. Simpan semula dalam peti sejuk supaya harum manis glaze betul-betul set.